Sabtu, 29 April 2017

MENTERJEMAH KATA GANTI NAMA

 Definisi kata ganti nama ialah kata yang digunakan untuk menggantikan kata nama lain seperti kata ganti nama diri untuk menunjukkan orang, misalnya dia, saya dan kamu.  Kata ganti nama arab terbahagi kepada dua iaitu Bariz (nyata) dan Mustatir (tersembunyi). Setiap bahagian mempunyai bahagiannya tersendiri iaitu jika Bariz terdapat dua bahagian iaitu Munfasil (terpisah) dan muttasil (bersambung). Mustatir juga mempunyai dua bahagian iaitu wajib al-istitar dan jaiz al-istitar. Kata ganti nama arab juga mempunyai pembahagiaan mengikut kategori jantina iaitu muannath dan mudhzakkar. Terdapat beberapa  perkataan bagi kata ganti nama mudhzakkar iaitu (أنا ، نحن ، أنتَ ، أنتما ، أنتم ، هو ، هما ، هم ) . Bagi kata ganti nama muaannath pula ialah (أنا ، نحن ، أنتِ ، أنتما ، أنتنَّ ، هي ، هما ، هنَّ ).

Selepas itu, kata ganti nama Melayu juga terbahagi kepada dua jenis iaitu kata ganti nama diri dan kata ganti nama tunjuk. Kata ganti nama diri pula terbahagi kepada dua iaitu kata ganti nama diri tanya dan kata ganti nama diri orang. Terdapat tiga bahagian dalam kata ganti nama diri orang iaitu pertama,kedua dan ketiga. 

Seterusnya, padanan terjemahan bagi kata ganti nama diri.  Padanan perkataan bagi  أنا ialah saya, aku, beta, patik dan hamba. Sebagai contoh ayat, أنا أحترم الكبير boleh diterjemah sebagai saya (lelaki / perempuan) menghormati orang tua, aku (lelaki / perempuan) menghormati orang tua, beta (lelaki / perempuan) menghormati orang tua, patik (lelaki / perempuan) menghormati orang tua, hamba (lelaki / perempuan) menghormati orang tua. Padanan bagi perkataan نحن pula ialah kita dan kami. Tamsilnya, نحن نحترم الكبير  iaitu terjemahannya kami (lelaki / perempuan) menghormati orang tua dan kita (lelaki / perempuan) menghormati orang tua.

Padanan bagi kata nama diri أنتَ ialah awak / kamu / anda / engkau bagi  lelaki. Misalnya, أنتَ تحترم الكبير  yang membawa maksud  awak / kamu / anda / engkau (lelaki) menghormati orang tua.  Bagi perkataan  أنت (anti) membawa maksud yang sama dengan أنتَ tetapi bezanya hanya ianya digunakan untuk perempuan. Sebagai contoh, أنتِ تحترمين الكبير membawa kepada maksud  awak / kamu / anda / engkau (perempuan) menghormati orang tua.  

Bagi kata ganti nama diri  أنتما  membawa kepada maksud awak / kamu/ anda / engkau (berdua (lelaki / perempuan). Contoh ayat أنتما تحترمان الكبير yang membawa kepada maksud awak / kamu/ anda / engkau (berdua (lelaki / perempuan) menghormati orang tua. Kata ganti nama diri yang seterusnya ialah أنتم dan أنتن. أنتم diterjemahkan sebagai awak / kamu / engkau / anda (ramai / lelaki) manakala أنتن diterjemahkan sebagai awak / kamu / engkau / anda (ramai / perempuan). Sebagai contoh, أنتم تحترمون الكبير yang bermaksud awak / kamu / engkau / anda (ramai / lelaki) menghormati orang tua dan أنتنَّ تحترمن الكبير bermaksud awak / kamu / engkau / anda (ramai / perempuan) menghormati orang tua.

Padanan terjemahan bagi kata ganti nama diri هو ialah dia (lelaki) dan هي juga turut diterjemakan sebagai dia tetapi untuk perempuan. Tamsilnya,  هو يحترم الكبير bermaksud dia (lelaki) menghormati orang tua dan هي تحترم الكبير yang bermaksud dia (perempuan) menghormati orang tua. هما pula boleh diterjemahkan kepada mereka (berdua – lelaki) atau mereka (berdua-perempuan). Contoh ayat ialah هما يحترمان الكبير yang bermaksud  mereka (berdua – lelaki) menghormati orang tua. Manakala dalam konteks ayat yang berbentuk seperti ini هما تحترمان الكبير membawa kepada maksud mereka (berdua - perempuan) menghormati orang tua.

Padanan terjemahan  kata ganti nama yang terakhir adalah هم dan هنَّ. Jika kita dapat lihat untuk menterjemah kedua-dua perkataan ialah sama iaitu mereka (ramai) cuma bezanya adalah هم digunakan untuk lelaki dan  هنَّ untuk perempuan. Sebagai contoh, هم يحترمون الكبير  yang bermaksud mereka (ramai - lelaki) menghormati orang tua manakala هنَّ يحترمن الكبير bermaksud mereka (ramai - perempuan) menghormati orang tua.

Konklusinya, untuk menterjemah bagi kata ganti nama diri haruslah diterjemah mengikut konteks ayat yang diberikan. Penterjemah juga harus menguasai nahu dan sorof sebaik mungkin untuk mengetahui bilakah perlunya suatu ayat diterjemah sebagai lelaki atau perempuan atau seorang atau ramai.Jika berlaku kesilapan terjemahan dalam menterjemah kata ganti nama diri, ianya akan memberi suatu impak yang besar terhadap pembaca kerana makna yang hendak disampaikan oleh penulis asal tidak sampai kerana hanya kesilapan yang kecil sahaja. Jadi penterjemah haruslah berhati-hati walaupun ianya hanya melibatkan kata ganti nama diri sahaja.

HASIL TULISAN:
NUR ADILA BINTI MOHAMAD
JABATAN PENGAJIAN ARAB DAN TAMADUN ISLAM          
FAKULTI PENGAJIAN ISLAM
UKM

Isnin, 10 April 2017

                         
KELAYAKAN PENTERJEMAH

Assalamualaikum, inshaallah, hari ini saya ingin berkongsi antara syarat-syarat yang membolehkan seseorang itu layak menjadi seorang penterjemah. Tetapi di sini,saya lebih mengkhususkan kepada penterjemah sesuatu teks.Dan dalam masa yang sama,pada pendapat saya,menjadi seorang penterjemah bukanlah suatu yang mudah untuk dicapai,tetapi ianya memerlukan pengetahuan yang amat luas dan sebagainya sebelum menjadi seorang penterjemah. Oleh sebab itu ,tidak hairanlah mereka ini boleh mendapat bayaran yang tinggi disebabkan ianya memerlukan mereka yang betul-betul mahir dalam ilmu menterjemah ini Menjadi seorang penterjemah ini sebenarnya tidaklah hanya dalam menterjemah teks sahaja,bahkan terdapat juga penterjemah dalam pertuturan,sebagai contoh, Richard yang berbangsa Inggeris tidak memahami pertuturan yang disampaikan oleh Farid,maka beliau memerlukan seorang penterjemah dalam pertuturan yang baik untuk membantu menterjemah apa yang disampaikan.Oleh yag demikian,adalah salah  mereka yang beranggapan untuk menjadi seorang penterjemah yang baik hanya perlu mengetahui dua bahasa sahaja,tetapi ianya memerlukan pengetahuan yang lebih banyak dalam bahasa yang lain.

Antara syarat utama yang membolehkan seseorang itu berkelayakan menjadi seorang penterjemah ialah mengetahui bahasa sumber yang lebih mendalam.Mahir dalam selok-belok keganjilan &keistimewaan bahasa sumber itu sendiri.Boleh membezakan makna dengan baik dan mampu mentafsirkan maksudnya dengan tepat.Selain itu,mengetahui bahasa sasaran.Di sini,bahasa sasaran ialah bahasa yang digunakan penterjemah untuk penerima teks memahaminya.Dan ianya perlulah lebih baik daripada bahasa sumber dan dalam masa yang sama,sama baik dengan bahasa sumber.Selain itu.mengetahui topik/subjek yang akan diterjemahkan.Ianya kerana,untuk menjamin ketepatan dan kesempurnaan makna yang dipindahkan daripada teks asal.Jika tidak,penterjemahan tersebut tidak dapat diterjemahkan dengan baik disebabkan tidak mengetahui topik/subjek yang akan diterjemahkan.Ianya juga penting dalam penterjemahan teks-teks khusus dan teks-teks sastera.Seterusnya,mengetahui teori terjemahan.Di dalam teori terjemahan,terdapat teori & kaedah ilmiahnya sendiri.Ianya bukan memindahkan perkataan sahaja,tetapi memindahkan idea,maklumat dan gaya dan memerlukan bantuan ilmu pengetahuan secukupnya dalam bidang teori dan kaedah terjemahan.Akhir sekali,mengetahui sasaran pembaca.Di dalam menterjemahkan sesuatu teks,penterjemah perlu menterjemah sesuai dengan pembaca sasaran iaitu penerima tersebut.Jika tidak,terjemahan tidak dapat disampaikan dengan baik kepada sasaran pembaca.Dan dalam masa yang sama,laras bahasa juga perlu dijaga.Di sini,saya ingin memberikan satu contoh:jikalau sasarannya ialah kanak-kanak,maka laras bahasa yang digunakan mestilah sesuai dengan kanak-kanak tersebut dan begitulah sebaliknya.Saya juga ingin berkongsi beberapa syarat tambahan dalam menjadi seorang penterjemah yang baik iaitu mempunyai fikiran yang terbuka,ingatan yang baik,minat yang mendalam dalam menjadi seorang penterjemah,boleh bekerja sendiri,tidak malu bertanya serta jujur dan amanah.Tidak dinafikan juga,mempunyai pengalaman juga merupakan syarat lain yang melayakkan seseorang menjadi seorang penterjemah. Ianya merupakan aset yang amat bernilai kepada seseorang individu itu sendiri,dan dalam masa yang sama,ianya tidak datang bergolek sekaligus tetapi memerlukan kesungguhan mereka itu sendiri.Melalui pengalaman itu juga,mereka memperoleh ilmu dan latihan penterjemahan yang berpanjangan. Dan dalam masa yang sama,seseorang itu boleh memanfaatkan pengalaman daripada orang lain serta perlu untuk mencari pengalaman sendiri.Oleh yang demkian,untuk menjadi seorang penterjemah,perlu untuk melengkapkan diri dengan pelbagai syarat dan kebolehan sebelum berupaya menterjemah sesuatu teks dengan baik. Itu sahaja yang dapat saya kongsikan pada hari ini,wassalam.


HASIL TULISAN:
NURHAFIZAH BINTI ZULKIFLI
A158011
JABATAN PENGAJIAN ARAB DAN TAMADUN ISLAM
FAKULTI PENGAJIAN ISLAM
UKM, BANGI

Khamis, 6 April 2017

PROSES  PENTERJEMAHAN

 

 (1) TEKS SUMBER   ⇾  (2) ANALISIS  ⇾  (3) PEMINDAHAN  ⇾  (4) PENSTRUKTURAN SEMULA  ⇾ (5) MEMERIKSA⇾ (6) MENYEMAK⇾  (7) MENYUNTING 

Bagi seseorang yang mempelajari bahasa arab sangatlah penting baginya untuk mengetahui terjemahan bahasa arab tersebut kepada bahasa pertuturannya atau bahasa hariannya. Dengan mengetahui  penterjemahan seseorang itu dapat mempelajari bahasa arab dengan mudah dan cepat. Selain itu, mereka juga terhindar dari kesalahan tersalah memahami teks bahan bacaannya.  Namun sejauh manakah seseorang itu mengetahui proses penterjemahan yang betul dan sistematik? 

Terdapat beberapa langkah yang perlu bagi seseorang itu untuk melakukan proses penterjemahan. Proses penterjemahan bermula dengan mempunyai atau memiliki teks sumber bahan bacaan seperti artikel, wacana atau buku untuk diterjemahkan. Setelah itu, seseorang itu haruslah menganalisis bahan bacaan secara keseluruhan untuk mengesan perkataan yang tidak difahami. Proses penterjemahan berlaku di dalam pemikiran penterjemah dengan melibatkan pencarian makna dari kotak memori atau kamus yang mempunyai terjemahan yang batul. Pencarian makna boleh dilihat dari setiap perkataan bahan bacaan atau ayat atau secara keseluruhan bahan bacaan. Terdapat pelbagai ciri istimewa yang boleh didapati dari mencari terjemahan perkataan arab seperti idiom atau peribahasa arab. 

Proses kedua adalah dengan membuat pemindahan perkataan tersebut dengan mencari padanan terjemah yang sepadan, sesuai dan sejadi. Proses ini juga berlaku dalam pemikiran batin penterjemah dan ia akan dipindahkan dalam bentuk bahasa sasaran dan adakala berlaku sedikit pemincangan makna dan konitasi. Selepas itu penterjemah perlu menstruktur semula teks mengikut struktur bahasa sasaran, gaya bahasa yang digunakan haruslah memudahkan pembaca untuk memahami teks tersebut dengan mudah. Struktur ayat mestilah ringkas dan menggunakan ayat yang jelas serta menggunakan tanda bacaan dengan betul dan baik.

Setelah proses menterjermah teks atau bahan bacaan penterjemah haruslah melaksanakan tiga lagi peringkat untuk mendapat pertejamahan perkataan yang betul dan baik. Tiga peringkat tersebut adalah memeriksa , menyemak dan menyunting semua teks yang diterjemahkan. Proses memeriksa boleh dilakukan oleh penterjemah dengan bersemuka dengan pakar penterjemah dan memeriksa ketepatan terjemah. Penterjemah juga boleh membaca teks dengan lantang dan kuat dihadapan orang lain namun tugas ini bukanlah mudah. Setelah itu, teks terjemah perlu disemak oleh pakar penterjemah yang arif dengan bidang penterjemahan. Teks terjemah dianggap sebuah teks yang berdiri sendiri dan ia adalah cara untuk  menyesuaikan teks terjemah denagan kehendak pembaca.

Akhinya proses menyunting kembali teks terjemah. Ini bukanlah proses terjemahan namun ia dianggap penting. Perkara yang perlu disunting adalah membuang bahan yang tidak perlu dan mewujudkan gaya yang seragam sekiranya teks diterjemah oleh ramai penterjemah. Semua proses pennterjemah perlu difahami dengan sebaiknya agar tugas-tugas penterjemah dilakukan dengan sempurna dan baik.

HASIL TULISAN :
NURUL NADIA AMERA BINTI MOHAMAD ABDUL JABAR,
JABATAN PENGAJIAN ARAB DAN TAMADUN ISLAM,
FAKUTI PENGJIAN ISLAM
UKM, BANGI

Selasa, 4 April 2017

KAEDAH-KAEDAH TERJEMAHAN

Seperti yang saya ketahui, terdapat tiga kaedah yang boleh digunakan oleh seseorang penterjemah untuk menterjemah sesuatu teks dengan melalui kaedah terjemahan secara umum. Antaranya ialah dengan menggunakan kaedah terjemahan kata demi kata, terjemahan harfiah, dan terjemahan bebas.

TERJEMAHAN KATA DEMI KATA
Terjemahan ini menggunakan bahasa sumbernya tetap ketara. Kebiasaannya, ia digunakan   untuk menterjemahkan kitab-kitab suci, doa, mentera, jampi, puisi-puisi tertentu dan teks-teks  lain yang mana ia mengandungi di dalamnya kekuatan adikodrati, sekiranya ia diterjemahkan secara bebas, hikmahnya akan hilang. Terjemahan cara ini juga mudah untuk dilakukan oleh  seseorang penterjemah. Selain itu, ia juga ,mudah untuk disiapkan dalam masa yang singkat. Seterusnya, terjemahan cara ini juga lebih menekankan kepada bentuk teks sumber, bukannya pada isi dan ia juga tidak dapat difahami dengan mudah. Catatan kaki juga dibuat untuk menjelaskan lagi makna yang kurang jelas dan kabur. Penterjemah yang menggunakan kaedah ini, masih belum boleh lagi untuk dipanggil sebagai penterjemah, sebaliknya dia adalah seorang  transformer.

Terjemahan Harfiah
Terjemahan harfiah ini merupakan terjemahan dalam bentuk/struktur bahasa terjemahan yang sangat mirip dengan bentuk bahasa sasaran. Gaya terjemahan juga mirip atau hampir sama dengan gaya penulisan bahasa sumber. Selain itu, ia juga masih memberi penekanan pada bentuk bahasa sumber. Hasil terjemahan kadang kala kaku dan terlalu dipaksakan dan bahasa yang diterjemahkan juga tidak sedap untuk dibaca.

Terjemahan Bebas
Terjemahan bebas ialah terjemahan yang tidak terikat dengan bentuk teks asal.  Ia juga sangat mementingkan makna dan isi teks asal. Hasil daripada bahan yang diterjemahkan merupakan suatu gagasan pengalaman bagi penulis. Pengalaman penterjemah juga boleh dilihat dalam hasil terjemahan. Dalam terjemahan bebas ini, keupayaan, kemampuan dan kreativiti seseorang penterjemah benar-benar teruji. Hasil daripada terjemahan bebas ini dapat menghasilkan sebuah karya terjemahan yang menarik dan senang untuk dibaca oleh para pembaca.

HASIL TULISAN:
NURFALIHAH BINTI MOHD SAHAID
A158014
JABATAN PENGAJIAN ARAB DAN TAMADUN ISLAM
FAKULTI PENGAJIAN ISLAM
UKM