Khamis, 30 Mac 2017


JENIS-JENIS TERJEMAHAN

Hai semua, pasti ramai yang tertanya-tanya, apakah jenis-jenis dalam terjemahan serta apakah kaedah-kaedah atau metode-metode yang paling sesuai yang boleh kita praktikkan dalam menterjemah sesuatu teks. Di sini, saya akan terangkan jenis-jenis terjemahan mengikut pengetahuan saya.Seperti yang kita ketahui, secara umumnya, jenis terjemahan terbahagi kepada dua jenis. Pertama terjemahan secara lisan dan yang kedua terjemahan secara lisan.

TERJEMAHAN TULISAN
Kebiasaannya seseorang yang melakukan terjemahan secara tulisan dia akan dilakukan secara bertulis serta diberikan kesempatan untuk membaiki kesilapan dalam terjemah yang dilakukan. Dalam terjemahan tulisan ini, penguasaan bahasa sumber dan bahasa sasaran yang pasif tidak menjadi suatu kewajipan untuk menjadi seorang penterjemah tulisan yang baik.

TERJEMAHAN LISAN
Manakala terjemahan lisan pula ialah dilakukan secara lisan, secara langsung, terjemahan perlulah dilakukan secara cepat dan tepat. Semasa melakukan terjemahan secara lisan, para penterjemah tidak boleh berhenti walaupun sebentar untuk membaiki unsur-unsur bahasa atau ujaran yang salah atau yang tidak tepat padanan terjemahannya. Penterjemah juga diberikan syarat dalam menterjemah secara lisan iaitu penterjemah mestilah berkemampuan dalam berbicara secara lancar dan fasih dalam bahasa sumber dan bahasa sasaran. Penterjemah ini juga perlulah berpengetahuan luas serta mampu mentafsirkan apa sahaja yang diutarakan. Ia juga dikenali sebagai interpreter yang mana diperlukan untuk menjalani latihan yang panjang dan perlu mencari banyak pengalaman secara berterusan. Selain itu, untuk menjadi seseorang penterjemah yang baik, dia juga mestilah seorang pentafsir yang benar-benar mahir dalam terjemahan.
Kedua, menurut Robert Lado (1961:33) jenis terjemahan terbahagi kepada dua iaitu faktual dan sastera.


TERJEMAHAN FAKTUAL
Terjemahan faktual ialah terjemahan yang memindahkan maklumat yang berkaitan dengan sesuatu fakta. Misalnya terjemahan buku, surat khabar, surat-surat rasmi, iklan dan sebagainya. Terjemahan ini hendaklah dilakukan ringkas, sederhana dan tiada unsur kekeliruan. Hal ini kerana, terjemahan yang mengelirukan bukan sahaja menyesatkan para pembaca, malah ia boleh membawa kemudaratan kepada para pembaca.

TERJEMAHAN SASTERA
Kebiasaannya terjemahan sastera ini dilakukan untuk kepentingan kesenian dan kesusasteraan seperti prosa, puisi, drama, opera, filem dan sebagainya. Terjemahan ini perlulah berdasarkan teks asal, bentuk pengungkapannya dan juga kesan yang ditimbulkan oleh teks. Selain itu, penterjemah juga mestilah mampu merasai suasana dan getar rasa yang terkandung dalam teks tersebut. Umumnya, terjemahan secara sastera ini lebih mementingkan kepada keindahan bahasa dan ketajaman makna bahasa sumber. Kesilapan dalam terjemahan sastera ini tidaklah terlalu mengelirukan pembaca atau mengelirukan mereka jika dibandingkan dengan terjemahan faktual.
Ketiga,menurut Roman Jacobson (dalam Nida, 1964:3) pula, jenis terjemahan boleh dikelasifikasikan kepada tiga jenis iaitu, terjemahan intralingual, interlingual, dan intersemiotik.

TERJEMAHAN INTRALINGUAL
Terjemahan ini dilakukan dalam satu bahasa tertentu sahaja iaitu penterjemahan variasi-variasi bahasa yang terdapat dalam bahasa itu. Misalnya, dialek ke dialek yang lain, dialek ke bahasa buku atau sebaliknya dan bahasa kasar ke bahasa halus.

TERJEMAHAN INTERLINGUAL
Maksudnya terjemahan daripada satu bahasa ke bahasa yang lain yang berbeza dari segi sifat, karakter dan strukturnya. Contohnya, terjemahan dari bahasa melayu kepada bahasa arab.

TERJEMAHAN INTERSEMIOTIK
Terjemahan ini merupakan daripada suatu bentuk sistem simbol atau tanda ke dalam suatu bahasa atau bentuk yang lain. Misalnya, pergerakan tangan polis trafik diterjemahkan ke bentuk kata-kata.Selain itu, bahasa isyarat yang dipindahkan ke bentuk bahasa lisan atau tulisan.

Selain itu, menurut J.C. Catford (A Linguistic Theory of Translation) terjemahan terbahagi kepada enam jenis, iaitu terjemahan penuh, terjemahan sebahagian, terjemahan tuntas, terjemahan terbatas, terjemahan terikat dan juga terjemahan bebas.

TERJEMAHAN PENUH
Terjemahan penuh ialah terjemahan keseluruhan teks sumber yang diterjemahkan ke dalam bahasa sasaran.

TERJEMAHAN SEBAHAGIAN
Terjemahan sebahagian ialah tidak menterjemahkan keseluruhan teks sumber kerana terdapat beberapa bahagian tetentu yang tidak diterjemahkan, malahan ia perlu digabungkan dengan teks sasaran. Hal ini kerana, kosa kata teks sumber tidak dapat diterjemahkan atau tiada padanan yang tepat dalam bahasa sasaran. Selain itu, ia juga untuk kepentingan tertentu seperti untuk memelihara warna aslinya atau untuk memberikan cita rasa murni bahasa sumber dalam bahasa sasaran.

TERJEMAHAN TUNTAS
Terjemahan yang memindahkan semua unsur kebahasaan iaitu pengganti unsur tatabahasa dan kosa kata bahasa sumber dengan padanan terjemah tatabahasa dan kosa kata bahasa sasaran, disertai dengan penggantian unsur-unsur fonologi dan grafologi bahasa sumber oleh fonologi dan grafologi bahasa sasaran.

TERJEMAHAN TERBATAS
Dalam terjemahan terbatas, yang digantikan hanyalah salah satu unsur yang terdapat dalam teks sumber dengan padanannya dalam bahasa sasaran. Hanya unsur grafologi atau fonologi atau kosa kata atau tatabahasa yang dipindahkan.

Terjemahan Fonologi
Fonem bahasa sumber digantikan dengan padanannya dalam bahasa sasaran tanpa perubahan tatabahasa dan kosa kata. Kebiasaannya,dilakukan oleh pelakon, (filem, drama, teater dan lain-lain) dalam meniru aksi-aksi tertentu. Selain itu, penampilan seseorang yang sedang belajar suatu bahasa asing yang selalu sahaja melakukan kesilapan dalam pengucapan dan pengujaran.

Terjemahan Grafologi
Ialah suatu grafik bahasa sumber yang digantikan dengan grafik bahasa sasaran. Ia juga dilakukan untuk menghasilkan tata huruf atau tipografi tertentu. Selain itu, ia juga sering dilakukan oleh pelajar yang baru belajar bahasa asing dan terjemahan ini mempunyai perbezaan dengan transliterasi.

Terjemahan Tatabahasa
Ialah terjemahan yang dipindahkan ke bahasa sasaran hanyalah tatabahasa bahasa sumber. Bahagian-bahagian lain tidak dipindahkan.

Terjemahan Kosa Kata
dipindahkan hanyalah unsur kosa kata bahasa sumber. Unsur-unsur lain tidak dipindahkan. Kebiasaannya berlaku dalam proses belajar bahasa.

TERJEMAHAN TERIKAT
Terjemahan terikat ialah suatu terjemahan yang terbatas. Misalnya, terjemahan kata demi kata (word for word translation). Terjemahan kata demi kata biasanya digunakan dalam terjemahan puisi atau dalam terjemahan untuk memperlihatkan perbezaan antara dua bahasa yang terlibat.

TERJEMAHAN BEBAS
Terjemahan bebas ialah terjemahan tuntas yang tidak dibatasi oleh keterikatan pada penterjemahan suatu tataran tertentu. Kebiasaannya, berada pada tataran yang lebih tinggi daripada tataran kata, atau morfem atau ayat. Terdapat beberapa kelebihan terjemahan bebas ini. Antaranya termasuklah penterjemah akan berusaha sedaya upaya untuk menyampaikan segala mesej yang ada dalam teks asal. Selain itu, hasil terjemahan merupakan gagasan pengalaman penulis, ditambah dengan gagasan pengalaman penterjemah, keupayaan, kemampuan dan daya kreativiti penterjemah. Karya terjemahan menjadi lebih menarik dan senang dibaca.

Menurut Peter Newmark, terjemahan terbahagi kepada dua iaitu terjemahan komunikatif dan terjemahan semantik.

TERJEMAHAN KOMUNIKATIF
Terjemahan komunikatif boleh menghasilkan kepada para pembaca kesan yang hampir sama seperti kesan pembacaan yang dialami oleh pembaca teks asal. Ia juga memberi perhatian kepada pembaca kedua, mementingkan budaya bahasa sasaran serta fungsi. Selain itu, ia juga masih perlu menghormati bentuk teks sumber dan bekerja berdasarkan bentuk itu. Terjemahan Komunikatif juga bersifat lebih lancar, mudah, jelas, lebih langsung, biasa, mengikut pada laras tertentu bahasa, cenderung untuk kurang menterjemah iaitu dengan menggunakan istilah yang lebih umum dan menyeluruh dalam petikan-petikan yang sukar. Ia juga menulis dengan menggunakan bahasa sendiri dalam bentuk yang lebih baik daripada teks asal dan boleh menggantikan bahasa kasar dengan bahasa halus. Penterjemah juga mempunyai hak membetulkan kesilapan fakta dan sesuatu yang tertinggal.

TERJEMAHAN SEMANTIK
Mencuba untuk menghuraikan makna konteks yang terdapat dalam teks asal setepat-tepatnya, setakat yang dibenarkan oleh struktur semantik dan sintaksis bahasa sasaran. Terjemahan ini lebih berkisarkan dalam budaya asal. Selain itu, ia juga dapat menolong para pembaca pada konotasi serta lebih cenderung kepada terjemahan berlebihan. Ia juga mementingkan makna dan bahasa sumber. Lebih bersifat rumit, terperinci, lebih kekok, lebih mendalam, dan lebih menelusur kepada proses fikiran penyampai daripada tujuannya.Kebiasaannya mutu terjemahan semantik lebih rendah dan mengakibatkan makna teks sumber hilang. Ia cuba mencipta semula setepatnya nada dan sifat khusus teks asal. Terjemahan semantik ini juga terpisah daripada masa dan ruang setempat. Selain itu, ia juga cuba untuk mengekalkan idiolek penulis dan bentuk ungkapan khusus penulis lebih utama serta bersifat lebih luas dan sejagat.

HASIL TULISAN:
NURFALIHAH BINTI MOHD SAHAID
JABATAN PENGAJIAN ARAB DAN TAMADUN ISLAM
FAKULTI PENGAJIAN ISLAM
UKM, BANGI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan