Sabtu, 20 Mei 2017

APA ITU LARAS BAHASA?

Seperti yang semua ketahui, terdapat pelbagai bahasa di dunia ini. Antaranya ialah  bahasa melayu, bahasa cina, bahasa tamil, bahasa inggeris dan bahasa arab. Namun setiap satu dari bahasa-bahasa tersebut juga mempunyai perbezaan samada yang ketara ataupun tidak ketara. Antara perbezaannya ialah dialek yang digunakan ketika seseorang individu itu bertutur mengikut kawasan tempat yang diduduki oleh penutur tersebut seperti “hang pi mana?” ialah dialek yang digunakan oleh penduduk yang menetap di kawasan negeri Kedah ataupun “ni rodong koi” ialah dialek yang digunakan oleh penduduk yang menetap di Temerloh, Pahang. Terdapat juga perbezaan bahasa yang mengikut kaum seperti kaum Iban ataupun Malanau yang tinggal di negeri Sarawak. Namun apa yang saya mahu bincangkan bukanlah berkenaan dengan dialek yang digunakan tetapi mengenai laras bahasa yang terdapat di dalam semua bahasa.

Sebelum itu, apa yang dimaksudkan dengan bahasa? Bahasa ialah satu sistem lambang pertuturan yang arbitari dan digunakan oleh manusia untuk berhubung dan berkomunikasi antara satu sama lain. Bahasa juga adalah alat untuk menyatakan perasaan, melahirkan keinginan dan sebagainya. Bahasa juga mempunyai sistem heterogen. Maksud laras bahasa pula adalah ciri-ciri khusus dalam pengguanaan bahasa mengikut bidang dan situasi  penutur ketika berbahasa , sama ada secara lisan atau tulisan.bahasa yang digunakan untuk konteks adalah berlainan misalnya yang digunakan dalam ulasan sukan dengan bahasa minit mesyuarat adalah berbeza. Laras bahasa juga berbeza mengikut taraf sosial penutur seperti seorang rakyat akan menggunakan “patik”  manakala seorang raja akan menggunakan “beta” sebagai kata ganti nama diri mereka. Perubahan dalam laras bahasa akan berubah sekiranya kebudayaan dab sosial masyarakat berubah. Laras juga akan berubah jika terdapat pernambahan alat teknologi baru mengikut keseuaian yang diterima oleh pengguna.

Ciri-ciri laras bahasa terbahagi kepada dua iaitu keperihalan dan linguistik. Ciri keperihalan terbahagi kepada dua jenis iaitu situasi luaran dan persekitaran. Situasi luaran bermaksud latar belakang sosial kebudayaan masyarakat manakala situasi persekitaran adalah merupakan aspek-aspek yang berkaitan dengan cara penyampaian, hubungan sosial, bahan yang diperkatakan dan fungsi sosial perlaku bahasa. Ciri linguistik pula bermaksud unsur-unsur sistem bahasa iaitu aspek bunyi, perkataan, frasa dan ayatnya. Terdapat juga laras yang mempunyai format yang tersendiri iaitu laras undang-undang, laras ucapan, laras iklan dan laras laporan berita dalam akhbar. Antara jenis-jenis laras bahasa ialah laras bahasa iklan/perniagaan, laras bahasa sains, laras bahasa media massa, laras bahasa rencana, laras bahasa undang-undang, laras bahasa agama, laras bahasa sukan, laras bahasa ekonomi, laras bahasa rencana dan laras bahasa akademik.

Laras bahasa ialah sesuatu yang sangat penting untuk kegunaan harian. Di dalam menterjemah juga menggunakan laras bahasa yang sesuai supaya pembaca dapat memahami dengan baik teks terjemahan tersebut. Justeru laras bahasa perlu diberi perhatian ketika menterjemah teks supaya terjemahan tersebut tidak berlainan dari maksud asal teks tersebut. Laras bahasa yang baik juga ialah salah satu cara menarik minat pembaca untuk meneruskan pembacaan mereka.


HASIL TULISAN :
NURUL NADIA AMERA BINTI MOHAMAD ABDUL JABAR,
JABATAN PENGAJIAN ARAB DAN TAMADUN ISLAM,
FAKUTI PENGJIAN ISLAM
UKM, BANGI




Tiada ulasan:

Catat Ulasan